PETALING JAYA: Ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan supaya tidak leka menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang semakin hampir.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, 2026 adalah masa untuk melipatgandakan usaha, memperkukuh akar parti dan menghidupkan semula semangat perjuangan Amanah di setiap peringkat.
“Menjelang PRU-16, kita tidak boleh leka. Jentera parti perlu digerakkan secara tersusun, ahli dipersiapkan, kepimpinan tempatan dibina lebih awal manakala pemimpin perlu turun ke bawah, mendekati rakyat, mendengar denyut nadi mereka dan menjadi suara yang membawa harapan.
“Kita mesti terus menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, Islam yang membawa kasih sayang, keadilan, hikmah dan penyelesaian kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang. Di sinilah letaknya kekuatan Amanah, iaitu politik nilai, bukan politik kebencian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Mohamad, keyakinan rakyat perlu diperkuatkan dengan menerangkan dasar parti, mempertahankan rekod pentadbiran serta menampilkan Amanah sebagai parti yang matang, berwibawa dan berprinsip.
Katanya, perbezaan pandangan perlu diraikan, perpaduan parti dipelihara dan disiplin perjuangan menjadi pegangan bersama.
“Jika kita bergerak dengan ikhlas, bersatu dan berdisiplin, Amanah bukan sahaja mampu bertahan, malah akan terus relevan sebagai parti Islam progresif yang membawa masa depan lebih baik untuk negara.
“Teruskan bekerja. Teruskan berjuang. Demi Islam yang membawa rahmat. Demi Malaysia yang adil dan makmur,” katanya. – UTUSAN










