KUALA LUMPUR: Bekas jaguh silat negara yang kini pelakon, Mohd. Al Jufferi tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menjayakan drama atau filem romantik.
Pendatang baharu dunia lakonan ini berkata tiada halangan untuk dia menerima naskhah dengan genre yang berlainan asalkan percubaan itu membawa kebaikan kepada kebolehan lakonannya.
“Saya ini jiwa pahlawan, tapi tak mustahil untuk berlakon dalam naskhah romantik, jadi saya akan terima kalau ada tawaran.
“Sebelum ini pun saya bawa watak berbeza dalam teater, contohnya jadi penari. Saya kagum dengan pengarah Lokman Ghani yang berupaya membentuk karakter saya, daripada pahlawan kepada penari.
“Oleh itu kalau ada tawaran berlakon selepas ini saya tidak menolak termasuklah naskhah romantik.
“Saya percaya untuk jadi pelakon yang baik saya kena cuba lakonkan watak-watak yang berlainan,” katanya.
Pemenang pingat emas Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 ini sebelum ini membuktikan bakat lakonannya menerusi teater antaranya Tinta Runtuhan, Bila Keris Berdenting Berbisik yang dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka Mei lepas.
Berkongsi mengenai perkembangan karier, Al Jufferi memaklumkan telah dirisik pengarah terkenal untuk sebuah filem aksi.
“Pengarah, Areel Abu Bakar ada bercakap kepada saya mengenai perkara ini. Katanya nak mulakan projek pada bulan Disember. Insya-Allah,” jelasnya.- UTUSAN