MARANG: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Marang bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu mengetuai kawasan itu.
Ahmad Samsuri memaklumkan perkara tersebut sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Marang kali ke-41 yang diadakan di Rusila, di sini, semalam..
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada barisan kepemimpinan baharu untuk menyambung perjuangan Pas.
“Saya undur kerana yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan. Kepemimpinan ini bukan milik individu, ia milik jemaah,” katanya seperti dilaporkan portal rasmi kerajaan negeri.
Susulan pengunduran Ahmad Samsuri, Timbalan YDP Pas Marang, Datuk Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung diumumkan sebagai pengganti bagi menggalas tanggungjawab sebagai YDP baharu.
Jawatan Timbalan YPD pula disandang ADUN Alor Limbat, Datuk Ariffin Deraman dan kedua-dua jawatan tersebut diumumkan sebagai menang tanpa bertanding. – UTUSAN










