500 syarikat bas, lori akan diaudit mulai Isnin - Aedy Fadly

500 syarikat bas, lori akan diaudit mulai Isnin – Aedy Fadly

AEDY Fadly Ramli (lima dari kiri) pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA di Butterworth, Pulau Pinang petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengaudit kira-kira 500 buah syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) dalam satu operasi khas yang dikenali sebagai ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA), mulai Isnin ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, syarikat-syarikat ini telah dikenal pasti melalui senarai yang diperoleh daripada JPJ serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kesemuanya mempunyai saman tertunggak yang masih belum diselesaikan sehingga kini.

“Pelaksanaan operasi khas ini memberi penekanan kepada penilaian pematuhan terhadap aspek pengurusan pemandu, penyelenggaraan kenderaan, tahap keselamatan serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.

“Selain itu, audit keselamatan juga akan melihat kepada pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP) dalam sektor pengangkutan, termasuk semakan ke atas pelan teknikal kenderaan serta proses penyelesaian saman oleh pemilik dan pemandu kenderaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA di sini, petang tadi.

Aedy Fadly menegaskan, audit itu merupakan respons kepada kemalangan tragik yang melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu serta beberapa insiden kemalangan membabitkan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.

“Hasil statistik yang direkod menunjukkan, terdapat 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres berada dalam kategori berisiko tinggi yang akan diberi keutamaan dalam audit kali ini.

“Dalam hal ini, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang cuai terhadap keselamatan dan tindakan tegas termasuk pengeluaran notis kesalahan, penggantungan atau pembatalan lesen memandu vokasional (PSV/GDL) serta lesen pengendali akan diambil jika didapati melanggar peraturan,” katanya.

Tambah beliau, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif JPJ untuk mempertingkat keselamatan jalan raya dan mengukuhkan integriti sistem pengangkutan awam negara secara menyeluruh.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN