3,520 premis di seluruh negara belum miliki sijil perakuan bomba - Utusan Malaysia

3,520 premis di seluruh negara belum miliki sijil perakuan bomba

AHMAD Izram Osman (tengah) merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) JBPM Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 3,520 atau 37.8 peratus premis di seluruh negara masih belum memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir Ahmad Izram Osman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 357 premis merupakan bangunan kerajaan manakala 3,163 pula premis swasta.

“Berdasarkan statistik terkini Bahagian Keselamatan Kebakaran, terdapat sebanyak 9,321 premis ditetapkan di seluruh negara di mana 8,595 merupakan premis swasta dan 726 pula bangunan kerajaan.

“Daripada jumlah itu, hanya 5,801 premis memiliki FC membabitkan 5,432 premis swasta dan 369 bangunan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) JBPM Perak 2025, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Menurut beliau, usaha proaktif kini dijalankan bagi memastikan semua bangunan atau premis yang ditetapkan di seluruh negara memiliki FC sekali gus mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan selamat untuk dihuni.

“Buat masa sekarang hanya ada 62.2 peratus sahaja yang memiliki FC. Jadi bermakna, ada banyak lagi premis yang perlu diambil tindakan.

“Sekarang baru bulan enam, kita ada setengah tahun lagi untuk memastikan 9,321 premis yang ditetapkan ini memiliki FC yang dikuatkuasa,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Izram, langkah pendigitalan terutama melalui penggunaan sistem e-PREMIS diyakini dapat membantu JBPM dalam usaha memastikan semua premis memiliki FC menjelang akhir tahun ini.

“Banyak usaha untuk meningkatkan kadar FC yang kita buat memandangkan sebelum ini kita tidak digitalisasikan rekod, data dan maklumat.

“Tetapi dengan penggunaan e-PREMIS ini kita dapat digitalisasikan dan tahu fokus serta arah tuju mana kita hendak pergi seperti kategori premis yang belum dibuat pemeriksaan dan kategori apa yang perlu pemeriksaan lebih teliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN