SUNGAI BULOH: Seramai 3,473 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan program Latihan Peralihan di seluruh Malaysia.
Selain itu, seramai 514 anggota dan veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian komited memperkasa Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) sebagai penghubung kerjaya kedua veteran, selari dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Jelasnya, ia memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan sosioekonomi Bakal Pesara dan Veteran ATM melalui tiga fokus utama ke arah pemerkasaan Perhebat.
“Perhebat mesti menjadi institusi yang membantu membangunkan kelangsungan kesejahteraan anggota dan veteran ATM. Dalam usahanya menyediakan latihan dan mengendalikan proses peralihan, Perhebat mesti bergerak dengan cara memastikan para veteran ATM dapat hidup secara berdikari, sejahtera dan produktif melalui latihan peralihan yang mantap.
“Kedua, memperhebat hubungan dengan industri dan pasaran pekerjaan. Kehadiran Perhebat dalam pasaran kerja bukan sahaja membantu institusi ini menjadi lebih dinamik dan berkesan, malah turut membuka banyak ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan berkualiti kepada anggota yang sedang menjalani fasa peralihan.
“Ketiga, menjadi institusi yang lebih anjal, terbuka dan berorientasikan prestasi. Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikat terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat Perhebat kepada warga veteran kita.
“Dengan keutamaan strategik ini, amat penting untuk Perhebat bertindak dengan lebih proaktif, inovatif dan bersandarkan orientasi pasaran agar dapat menjadi institusi yang lebih dinamik dan berkesan terhadap kelangsungan kesejahteraan anggota dan veteran ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia RPEL dan Sijil Perhebat di Kem Sungai Buloh, hari ini.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan lapan memorandum persefahaman (Mou) dan nota persefahaman (NoU) dimeterai antara Perhebat dengan pihak industri bagi memanfaatkan bakal pesara dan Veteran ATM dalam skop penempatan pekerjaan, peluang keusahawanan serta program-program latihan.
Pihak industri terlibat termasuk Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol), Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Maxis Broadband, TAB Security, Kamatech Automotive & Engineering, Hexide Engineering, AMS Caddy Academy dan Nur Lembah Pangsun Eco Resort.-UTUSAN