Kementerian Pertahanan buka pintu SPRM lakukan siasatan

Kementerian Pertahanan buka pintu SPRM lakukan siasatan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan melindung mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dengan gejala rasuah dan masalah integriti, tanpa mengira jawatan mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya membuka pintu seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki) pada minggu lepas, saya memberi jaminan dan seluruh MINDEF berdiri bahu membahu dengan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, fokus kerajaan dan kementeriannya pada ketika ini adalah mengembalikan kepercayaan rakyat serta kewibawaan ATM yang tercalar disebabkan segelintir anggotanya.

“Mengenalpasti dan mendakwa mereka yang terlibat adalah jauh dari mencukupi, ia tidak sama sekali akan menjadikan kementerian ini suci dan bersih.

“Dalam perutusan tahun baharu 2026 yang saya sampaikan dua mingu lepas, saya telah perincikan bagaimana kementerian ini akan memerangi kecurangan integriti secara radikal. Dalam kerangka pemulihan wibawa, kementerian akan melaksanakan pembaharuan tatacara dan tatakelola melalui beberapa langkah utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN