KOTA BHARU: Seorang jurutera kanan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 14 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU), dalam tempoh 10 bulan.
Tertuduh, Muhamad Azly Abdul Aziz, 44, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan jurutera kanan ECER, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya didakwa menerima suatu suapan iaitu wang tunai antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang individu berusia 70 tahun.
Wang tersebut diberikan secara pemindahan dalam talian melalui akaun bank milik Afiq Aziz Enterprise sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek LTU Pakej 3 Gua Musang dekat sini ke Kampung Relong, Pahang.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad cawangan Jalan Maju di sini bermula 22 Disember 2022 sehingga 31 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










