PETALING JAYA: “Lepas ini tak perlu dah lenjan kereta sewa.”
Demikian luahan pelakon dan model, Zahnita Wilson yang kini tidak perlu bergantung lagi kepada kereta sewa selepas berjaya memiliki kenderaan sendiri.
Lega dengan pencapaian tersebut, Zahnita meluahkan rasa berpuas hati berjaya memiliki kereta berwarna biru itu yang dibeli hasil daripada titik peluhnya sendiri.
“Terima kasih kepada Elle dan Ida (jurujual). Sangat berpuas hati, terima kasih banyak,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dengan kecekalan Zahnita menempuhi kehidupannya kini setelah melalui fasa sukar sebelum ini.
Pada Disember lalu, nama Zahnita kembali menjadi tumpuan ramai selepas mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Susulan itu, Zahnita nekad untuk meneruskan perceraian dengan suaminya, Abd. Zackery Ghouse, 47, pada 18 April lalu dan proses perbicaraannya masih lagi berlangsung.
Untuk info, Zahnita dan Abdul Zackery mendirikan rumah tangga pada tanggal 3 Jun sekitar 18 tahun lalu dan dikurniakan empat cahaya mata.-UTUSAN