IPOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menyerahkan manfaat takaful kepada waris dua anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meninggal dunia dalam nahas di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan selasa lalu.
Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, dan Koperal Amiruddin Zabri, 38, merupakan pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.
Pengerusi PTPTN, Datin Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kedua-dua anggota itu yang membuka akaun untuk diri sendiri pada 7 Mei lalu, melayakkan mereka menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,000.
Katanya, waris juga menerima khairat kematian berjumlah RM3,000, menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Prime yang diterima ialah sebanyak RM4,000.
“Bagi Allahyarham Mohd. Roslan, beliau juga membuka tiga akaun Simpan SSPN Plus di bawah Pakej Intan untuk tiga anak pada 31 Mac 2019.
“Melalui Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30 sebulan untuk setiap akaun, melayakkan beliau dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM60,000 bagi setiap akaun.
“Selain itu, waris juga layak menerima khairat kematian berjumlah RM9,000.00 untuk tiga akaun. Ini menjadikan keseluruhan manfaat Simpan SSPN Plus dan SSPN Prime yang diterima berjumlah RM193,000,” katanya ketika mengunjungi waris Mohd. Roslan di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Terdahulu, pengurusan PTPTN turut mengunjungi keluarga Allahyarham Amiruddin di Kampung Sungai Itek, Gopeng.
Menurut Norliza, menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN, pihaknya turut memberikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa wang tunai berjumlah RM15,000 kepada anak-anak mangsa kemalangan nahas FRU.
Katanya, sumbangan itu melibatkan seramai 15 orang anak di mana setiap anak menerima RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
“PTPTN berharap melalui sumbangan CSR dan manfaat perlindungan takaful serta khairat kematian Simpan SSPN ini dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang kehilangan insan tersayang.
“Walaupun tiada nilai yang dapat menggantikan kehilangan itu, manfaat yang diterima diharap mampu menjamin pendidikan anak-anak mangsa yang terlibat dan memberikan sokongan kepada kelangsungan hidup mereka,” katanya. – UTUSAN