Pilihan raya negeri (PRN) Sabah sudah pun sudah melabuhkan tirainya semalam, Kini rakyat Sabah bukan sahaja akan mendapat kerajaan baharu tetapi masa untuk calon yang berkempen selama dua minggu turun semula ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka menangi bertemu rakyat untuk menunaikan janji semasa kempen.
Berdasarkan analisis oleh Institut Pembangunan Sabah (IDS), pengundi Sabah baru-baru ini mempunyai penilaian atau pertimbangan tertentu dalam membuat pemilihan,
Berdasarkan tinjauan bebas, data lapangan serta kajian akademik yang dijalankan oleh IDS itu , terdapat beberapa kecenderungan utama dalam pola pemikiran dan penilaian pengundi di Sabah iaitu berdasarkan keutamaan isu menyentuh isu ekonomi, kos sara hidup dan kesihatan.
Pengerusi IDS, Datuk Dr. Ramzah Dambul yang berkongsi Tinjauan Vodus (Jun 2025) mendapati isu utama pengundi adalah adalah pembangunan ekonomi (54 peratus), kos sara hidup ( 47 peratus), kesihatan ( 41 peratus) dan peluang pekerjaan sebanyak 41 peratus.
Walaupun wacana berhubung MA63 mendapat perhatian, ia berada di kedudukan lebih rendah berbanding keperluan harian rakyat.
Menurut IDS lagi, pengundi tidak lagi konvensional, keputusan tidak ditentukan ideologi semata-mata, sebaliknya mereka menilai tawaran dasar, memerhati keberkesanan pelaksanaan ,mengejar kepastian dalam pembangunan ekonomi serta, melihat kemampuan menyelesaikan masalah harian
Bagi pengundi muda yang dianggap sebagai penentu (kingmakers), lebih 50 peratus pemilih berusia antara 18 hingga 39 tahun yang fokus kepada pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup ,lebih responsif kepada teknologi (AI, digital) dan kurang dipengaruhi retorik perkauman dan kesetiaan politik tradisional.
Oleh itu, strategi pembangunan negeri perlu memberi tumpuan kepada pembinaan agenda ekonomi inklusif dengan penekanan kepada modal insan, pelaksanaan dasar berasaskan data serta model penyampaian yang efektif bagi menjawab keperluan belia dan wanita.
Bermakna bukan mudah bagi pemilih membuat pengundian dan selepas pengundi yang membuat penilaian tersebut, membuat keputusan dan memberi kerusi mereka kepada calon, pengorbanan mereka tu wajar mendapat balasan setimpal.
Calon yang sudah diberi mandat perlu membalas balik pengorbanan pengundi mereka dengan memberi perkhidmatan terbaik , bukan bertindak sebaliknya.
Tindak tanduk segelintir calon tidak memberi perkhidmatan walaupun sudah diberi mandat, dianggap membelakangkan kepercayaan pengundi atau mengkhianati mandat.
Mereka berbuat demikian atas pelbagai sebab dan paling malangnya ada calon mengambil tindakan melompat parti selepas menang atas pelbagai sebab. Antaranya ditawarkan jawatan tertentu jika menyokong parti pemerintah.
Calon mengkhianati mandat pengundi ini digelar di Sabah katak politik kerana melompat daripada satu parti kepada parti lain dengan alasan keramatnya, demi rakyat. Kononnya mereka lah terpaling suci kerana akan menggunakan alasan demi rakyat.
Mereka sebenarnya saudagar kerusi kerana memperdagangkan kerusi yang diberi mandat oleh rakyat secara percuma tetapi ‘dijual’ atas kepentingan peribadi.
Apa pun alasan calon-calon ini, kecuali calon bebas yang memenangi DUN tanpa tertakluk kepada mana mana parti, membelakangkan mandat pengundi menunjukkan tidak mempunyai kredibiliti.
Jika ini berlaku selepas PRN Sabah kali ini, bermakna pesta demokrasi di Sabah tidak akan terhenti selepas pengumuman keputusan.
Dibimbangi drama politik akan berterusan, tawar menawar kerusi dan ADUN melompat akan berlaku.
Tindakan beberapa parti bertanding kali ini yang memberi penalti atau mendenda calon mereka yang menang juga sekadar amaran dan belum tentu dipatuhi walapun denda atau penaltinya agak tinggi.
Barisan Nasional (BN) sebagai contoh memberi amaran ADUNnya yang melompat parti akan dikenakan penalti RM50 juta atau berdepan tindakan mahkamah.
BN telah menerima aku janji bahawa mana-mana ADUN yang melompat pada PRN ini akan dikenakan penalti sedemikian.
Langkah itu mengelakkan perkara yang berlaku dalam pilihan raya negeri yang lepas.
Selain itu, wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dikenakan denda RM10 juta jika mereka melompat parti.
Maka sekarang wakil-wakil rakyat perlu fikir dua kali (untuk lompat parti), melainkan mereka ada RM10 juta dalam akaun.
Saya lebih melihat langkah yang diambil Parti Warisan (Warisan) agak signifikan dan ada implikasi. Ini kerana calon yang bertanding atas tiket parti itu dan kemudian melompat parti selepas memenangi pilihan raya, bakal berdepan tindakan tegas termasuk gugur kerusi dan denda sehingga RM10 juta.
Langkah itu digerakkan bagi membendung budaya politik tidak berprinsip yang sering menggugat kestabilan pentadbiran negeri dan mengkhianati mandat rakyat.
Sebagai langkah tambahan, semua calon Warisan diwajibkan menandatangani kontrak perjanjian (bonding) dengan nilai bon RM10 juta sebelum bertanding.
Kita tengok sahaja apakah langkah langkah pencegahan yang diambil oleh segelintir parti-parti politik ini akan berjaya seterusnya mampu menstabilkan politik Sabah, atau drama politik akan menjadi semakin intrig.
Drama lompat melompat ini pernah menimpa Parti Bersatu Sabah (BS) yang berjaya membentuk kerajaan negeri genap tiga dekad yang lepas.
Ketika itu, parti berkenaan tidak memperkenalkan peraturan denda dan penalti kepada ADUNnya yang berpaling tadah , malah parti itu menang pun hanya selepas 48 hari ditubuhkan oleh pengasasnya Tan Sri Pairin Kitingan.
Kita tidak mahu berlaku terlalu banyak drama politik di Sabah ini seperti babak angkat sumpah di Istana Negeri apabila ramai ahli dan parti politik berkumpul di pintu Istana selepas mendakwa berjaya membentuk kerajaan.
Apakah drama jual kerusi ini akan berlaku atau sesuatu akan terpaksa diatur bagi mewujudkan kerajaan negeri yang stabil terpaksa dilakukan.
Felo Kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Bilcher Bala memberitahu saya dalam konteks pasca PRN-17 Sabah, isu berkaitan Akta Melompat Parti perlu difahami sebagai sebahagian daripada usaha institusional untuk menstabilkan sistem politik negeri.
“Prinsip ini bertujuan untuk mengekang budaya politik oportunis yang sebelum ini telah mencetuskan ketidakstabilan kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, kemungkinan pelanggaran masih wujud dalam bentuk manipulasi teknikal, misalnya melalui sokongan silang blok tanpa keluar parti secara rasmi, atau melalui cabaran undang-undang terhadap penalti kontrak yang dikenakan oleh parti politik.
Menurut Dr. Bilcher lagi, disebabkan akta berkenaan, tidak mungkin berlaku langkah melompat atau jual kerusi nanti. Jika ada pun, ia akan menguji integriti sistem kehakiman Malaysia, terutamanya keabsahan sistem pilihan raya negara secara keseluruhan.
Beliau turut merujuk kes PBS pada 1985 apabila parti itu menang mengejut dalam PRN tetapi kehilangan kuasa apabila beberapa ADUNnya melompat parti.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali pula menjangka tiada parti dapat membentuk kerajaan atau menang dengan majoriti mudah. Maka kerajaan campuran terpaksa di tubuhkan dan mungkin ada demand parti untuk mencukupkan kerusi bagi membentuk kerajaan.
“Isu siapa jadi ketua menteri (punca) akan berlakunya aksi lompat parti,” ujarnya. – UTUSAN










