Pasar raya didenda RM15,000 gara-gara miliki terung beracun

Pasar raya didenda RM15,000 gara-gara miliki terung beracun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan denda RM15,000 ke atas sebuah pasar raya di Hulu Terengganu, dekat sini selepas mengaku bersalah menjual terung panjang yang dikesan mengandungi racun perosak.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut selepas wakil premis membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan menyediakan makanan yang mengandungi bahan memudaratkan kesihatan.

Mengikut pertuduhan, anggota Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu (PKDHT) menjalankan persampelan makanan di premis terbabit kira-kira pukul 4.30 petang  pada 25 Mei lalu.

Dalam operasi itu, anggota memilih terung panjang jenis Pear seberat 1,242 gram sebagai sampel sebelum membelinya dengan harga RM7.30 dan melak sampel berkenaan menggunakan lak rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sampel tersebut turut disertakan borang notis persampelan makanan dan borang permintaan analisis yang ditandatangani wakil pasar raya sebelum dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang pada keesokan harinya.

Pada 21 Julai, PKDHT menerima laporan perakuan juruanalisis yang mengesahkan sampel berkenaan mengandungi Carbendazim iaitu sejenis residu racun perosak pada tahap 0.02mg/kg.

Paras tersebut didapati tidak mematuhi peruntukan Peraturan 41(3)(c), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang melarang penjualan makanan mengandungi bahan kimia melebihi had dibenarkan.

Ekoran kesalahan itu, pasar raya berkenaan didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KKM, Alias Awang Kechik manakala premis itu tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×