JAKARTA: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat berikutan taufan di pulau Sumatera, Indonesia, meningkat kepada 303 orang, lapor ketua agensi mitigasi bencana negara itu.
Jumlah tersebut meningkat daripada angka yang dilaporkan sebelum ini sebelum seramai 174 orang.
Sebahagian besar Indonesia, Malaysia dan Thailand terjejas akibat hujan lebat yang diburukkan oleh taufan selama seminggu, dengan satu ribut tropika jarang berlaku terbentuk di Selat Melaka.
Ketua agensi bencana, Suharyanto memberitahu wartawan, sekurang-kurangnya 279 orang masih hilang, dan kira-kira 80,000 orang terpaksa dipindahkan.
Katanya, ratusan lagi masih terperangkap di tiga wilayah di pulau Sumatera, kawasan paling barat Indonesia.
Di bahagian utara pulau itu yang paling teruk terjejas, pasukan penyelamat menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan dan logistik, selepas jalan raya terputus dan infrastruktur komunikasi musnah akibat tanah runtuh.
“Kami sedang berusaha membuka laluan dari Utara Tapanuli ke Sibolga di wilayah Sumatera Utara yang terputus paling teruk untuk hari ketiga,” kata beliau dipetik Reuters.
Katanya, pasukan penyelamat bersama anggota tentera sedang bertungkus-lumus membersihkan kawasan jalan yang terputus akibat tanah runtuh dan membantu orang ramai yang terperangkap di beberapa kawasan.
Suharyanto turut menyatakan terdapat percubaan rompakan bekalan oleh penduduk yang terjejas di kawasan Tapanuli Tengah yang paling teruk terjejas.
Sementara itu, menurut jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, angka korban banjir di bahagian selatan negara itu meningkat kepada 162 orang, naik daripada angka sebelum ini iaitu 145 orang.










