Warga emas rugi RM625,250, terpedaya pelaburan janji pulangan 15 peratus

Warga emas rugi RM625,250, terpedaya pelaburan janji pulangan 15 peratus

BALVEER SINGH MAHINDAR SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian wang simpanan berjumlah RM625,250 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan pelaburan dengan pulangan 15 peratus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa yang berusia 67 tahun membuat laporan polis tentang kejadian itu, semalam.

Katanya, mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp pada Mac lalu dan menawarkan peluang pelaburan menarik.

“Mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan sebelum diminta memuat naik aplikasi bagi tujuan melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan tersebut.

“Mangsa yang tertarik kemudian membuat 16 transaksi ke lima akaun berbeza sejak 22 Mac hingga 19 Mei lalu dengan nilai keseluruhan RM625,250,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Balveer Singh, mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat pelaburan tambahan jika mahu mengeluarkan keuntungan yang diperoleh menerusi pelaburan terdahulu.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya sambil memberitahu siasatan turut melibatkan kemungkinan penggunaan keldai akaun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN