147 individu ditahan terbabit sindiket judi dalam talian

147 individu ditahan terbabit sindiket judi dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket membangunkan platform perjudian dalam talian serta membekalkan mesin slot dan alat ganti untuk pasaran tempatan dan luar negara dalam siri serbuan di sekitar Damansara dan Subang Jaya, 9 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seramai 147 individu termasuk tujuh warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7).

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi membangunkan platform perjudian antaranya 139 komputer riba, 182 telefon bimbit, 126 monitor, 84 kad akses serta 13 dokumen kerja.

“Siasatan mendapati semua premis terbabit tidak mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa, termasuk Kementerian Kewangan, untuk menjalankan aktiviti perkhidmatan perjudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya ketiga-tiga kertas siasatan dibuka dan dikawal selia D7 Bukit Aman, manakala 133 suspek akan dituduh mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing.

Jelas beliau, tindakan lanjut sedang dikaji di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“PDRM serius membanteras perjudian dalam talian dan menasihati orang ramai agar menjauhi kegiatan yang merosakkan moral dan kestabilan sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN