MELAKA : Kerajaan menetapkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pusat sehenti bagi pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir, khususnya dalam bidang agama dan perubatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar akan mengikuti kursus pengenalan Bahasa Arab di universiti tersebut selama setahun sebelum ke Mesir.
“Kaedah penghantaran pelajar ke Mesir akan melalui kursus pengenalan Bahasa Arab di USIM selama setahun. Ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia sebelum menyambung pengajian di sana.
“USIM dijadikan one stop center untuk pengajaran Bahasa Arab kerana kursus ini sangat penting terutama bagi pelajar yang belum menguasai Bahasa Arab sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Kampung Tersusun DMDI, Bukit Senggeh, Selandar di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Tambah Ahmad Zahid, kelayakan itu diberikan kepada pelajar maahad tahfiz yang berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran selain memiliki Sijil Kemahiran Malaysia, (SKM) Tahap 5 yang setaraf diploma.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya mempunyai 100 senarai pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang memperoleh 10 A dan ke atas yang layak melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.
“Kita memberi kelonggaran kepada pelajar terbabit yang tidak berminat dalam bidang perubatan untuk melanjutkan pengajian ke universiti lain.
“Jika ada kalangan pelajar terbabit yang meminati bidang kejuruteraan, kerajaan akan menghantar mereka ke universiti lain yang terpilih,” katanya. – UTUSAN