PETALING JAYA: “Dulu dia selalu takut nak berdiri. Malam ini dia seronok tunjuk berani.”
Demikian luahan pelakon, Uqasha Senrose yang terharu melihat perkembangan puteri kesayangannya, Hawra Uqaira yang sudah mula pandai berdiri dengan sendirinya.
Menurut Uqasha, anaknya yang berusia satu tahun itu masih belum berani untuk bertatih lagi namun melihat perkembangannya yang positif sudah cukup membuat dirinya sebak.
“Sebak. Gigi sudah penuh, berjalan saja dia takut-takut lagi. Tidak mengapa, sayang. Perlahan-lahan okay. Ibu sayang cinta hati ibu,” katanya.
Menerusi perkongsian di TikTok, Uqasha memuat naik momen ketika Uqaira menunjukkan keberaniannya untuk berdiri tanpa menerima sebarang bantuan buat pertama kali.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani pelbagai reaksi dari kalangan netizen yang rata-ratanya teruja melihat telatah si kecil itu.
Untuk info, Uqasha dan pelakon, Kamal Adli mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Uqaira.
Terdahulu, Uqasha mendedahkan dirinya pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali iaitu ketika menunaikan umrah pada awal 2022 dan sekitar November pada tahun sama.-UTUSAN