PETALING JAYA: Seorang lagi peneroka haram ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang kerana disyaki mengusaha kebun tanaman durian serta terlibat dalam pengubahan wang haram.
Suspek berusia 60-an itu juga dipercayai memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada aktiviti hasil tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di negeri ini.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub, Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 hingga 2025 dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Tangkapan ini adalah rentetan daripadan penahan lima pengusaha kebuh haran berhubung kes yang sama baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek dan saksi-saksi berkaitan.
“Suspek dilepaskan selepas keterangan diambil,” jelasnya.-UTUSAN










