KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dijangka akan diputuskan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tandatangan perjanjian yang dikenali sebagai ‘Kuala Lumpur Accord’ itu akan disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam memastikan proses damai dan mematuhi gencatan senjata di kawasan sempadan yang dipertikai.
“Usaha ke arah ini akan dilaksanakan antara AS dan Malaysia sebagai pemudah cara untuk memastikan satu gencatan senjata yang lebih meluas dapat diadakan antara pihak Thailand dan Kemboja.
“Ini akan dikawal selia oleh Pasukan Operasi ASEAN (AOT),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohamad berkata, menerusi perjanjian gencatan senjata itu, beberapa syarat akan ditetapkan terhadap Thailand dan Kemboja termasuk membersihkan segala periuk api serta mengundurkan jentera perang dari kawasan sempadan.
Thailand dan Kemboja sebelum ini berdepan konflik berlarutan selama beberapa dekad berhubung wilayah di sepanjang sempadan bersama sejauh 817 kilometer.
Sementara itu, Mohamad berkata, lebih 80 dokumen dijangka akan diterima pakai sepanjang sidang kemuncak itu, kebanyakannya berkaitan sektor ekonomi.
“Kita juga akan mengadakan mesyuarat mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perkara ini penting memandangkan keadaan geoekonomi yang tidak menentu,” katanya.
ASEAN dan China juga dijadual menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 semasa sidang kemuncak itu, katanya. – UTUSAN










