KUALA LUMPUR: UMNO mahu Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang ditubuhkan, melahirkan pemimpin masa depan parti yang konsisten dengan perjuangan dalam apa jua cabaran dihadapi tanpa berubah pendirian.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, SPU bukan sekadar program latihan sebaliknya merupakan satu inisiatif penting dalam usaha membina pelapis pemimpin UMNO yang berdisiplin, berprinsip dan berjiwa besar.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola SPU berkata, ia membuktikan bahawa inisiatif itu bukan program bermusim atau sekadar perintis, tetapi satu sistem pendidikan politik yang konsisten, berstruktur dan dirancang untuk jangka panjang.
“Ia mestilah konsisten kerana kita mahu melahirkan pemimpin dan pengikit UMNO yang konsisten. Kita tidak mahu melahirkan lalang, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. SPU adalah aset UMNO di masa akan datang.
“SPU adalah sebahagian penting daripada gagasan “UMNO Moving Forward”. Ia satu anjakan besar ke arah pembaharuan parti yang bukan hanya bertumpu kepada strategi pilihan raya, tetapi juga kekuatan akar umbi dan kualiti kepimpinan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ulangtahun UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani dan Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Majlis turut dihadir oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong dan wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pelaksanaan SPU merupakan sebuah projek istimewa yang lahir daripada wawasan dan pemikiran Presiden UMNO.
Katanya, Majlis Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia membabitkan 48 pelajar merupakan kejayaan besar agenda tersebut.
“Mereka ini telah menjalani pelbagai modul secara intensif dan membuktikan keupayaan sebagai pelapis harapan parti.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa kumpulan kedua SPU yang terdiri daripada 62 orang peserta, juga telah pun memulakan pengajian mereka,” katanya.-UTUSAN










