KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan supaya tidak statik dan tidak lagi bergantung kepada pendekatan lapuk dalam mendepani dinamika landskap politik masa kini sebaliknya parti itu mestilah menjadi pragmatik.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, landskap politik masa kini sudah berubah sifatnya kerana ia kini menjadi sukar diramal, terbuka dan amat dinamik.
Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tiada lagi parti politik yang dominan sebaliknya terpaksa bergabung, berunding dan berkongsi kuasa untuk membentuk kerajaan.
“Pada masa sama, rakyat hari ini semakin terbuka, semakin kritikal. Kebergantungan mereka terhadap parti politik kian luntur sebingga wujudnya defisit kepercayaan berpunca daripada pemimpin yang sering berbalah, berjanji kosong dan menghindari kepentingan rakyat.
“Ia juga disebabkan generasi pengundi masa kini, iaitu Gen Z dan Alpha hadir dengan sudut pandang berbeza yang diasuh dan dibentuk oleh garis masa media sosial.
“Mereka tidak dibentuk oleh retorik lama yang kian pudar maknanya. Naratif sejarah tidak lagi mencengkam emosi mereka, namun mendambakan masa depan yang menjanjikan harapan kepada diri dan tanah air mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ulangtahun UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia di Dewan Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani.
Ahmad Zahid berkata, UMNO yang pragmatik perlu berani menyesuaikan strategi, pendekatan, dan gerak kerja seiring dengan realiti politik baharu.
Katanya, dua PRU terdahulu memperlihatkan keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana parti dan telah menghadirkan situasi politik yang tergantung.
“Namun, dengan jiwa yang besar dan tanggungjawab nasional, UMNO memilih langkah kenegaraan untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Langkah ini bukan demi mengejar kepentingan sempit, tetapi bagi memastikan keindukan Islam terus terpelihara, hak serta kepentingan Melayu dan Bumiputera terus terbela, institusi Raja-raja Melayu terus didaulatkan, bahasa Melayu terus dinobatkan.
“Lebih besar lagi adalah demi menyelamatkan negara daripada belenggu krisis politik yang berpanjangan,” katanya.
Hasilnya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas 30 bulan membentuk Kerajaan Perpaduan, ekonomi negara kembali bernafas segar, indeks pelaburan asing melonjak memberangsangkan, hubungan diplomatik Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa semakin erat.
Tambahnya, projek pembangunan rakyat kembali rancak, kos sara hidup diberi perhatian bahkan imej Malaysia kembali pulih sebagai negara yang stabil, berdaya saing dan dihormati.
“Di situlah letaknya kekuatan UMNO, apabila kesatuan diperkukuh, UMNO pasti tampil terkehadapan. UMNO bukan sekadar gah sebagai sebuah parti politik, tetapi berdiri sebagai Jurutera Perkongsian Kuasa dalam dinamika politik yang mendamba kestabilan,” katanya.-UTUSAN










