JOHOR BAHRU: Syarikat pemaju, UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan sebanyak 422 unit hartanah bagi memperkasakan pemilikan premis di kawasan bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, usaha itu juga seiring dengan komitmen pihaknya untuk memperkasakan komuniti dan menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif, khususnya kepada kaum Bumiputera.
Usaha itu mencerminkan kejayaan UDA selama lima dekad dalam menerajui pembangunan bandar di Johor seperti Bandar Baru UDA, Pusat Bandar Tampoi, Skudai Kanan dan Bandar UDA Utama.
“Sebagai langkah proaktif, UDA turut melancarkan Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights dan melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi nilai tambah kepada pembeli serta memperteguhkan kesejahteraan komuniti setempat.
“Menerusi promosi ini, UDA menawarkan baucar IKEA Tebrau bernilai RM20,000 kepada 10 pembeli terawal hartanah kediaman dan komersial UDA di Johor dengan setiap pembelian menerima RM2,000.
“UDA juga akan menanggung kos guaman dan duti setem untuk Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Bank bagi semua hartanah dalam proses pembinaan,” katanya pada Majlis Perasmian Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Height di Bandar UDA Utama, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan COO UDA Land (South) Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki.
Antara hartanah yang ditawarkan termasuk rumah teres dua tingkat, banglo dan rumah berkembar dua tingkat, rumah teres setingkat serta kedai pejabat dua dan tiga tingkat.
Selain itu, UDA turut memperkenalkan promosi pendaftaran bagi projek-projek baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini dan 2026.
Johari berkata, inisiatif tersebut memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki hartanah pelbagai jenis seperti rumah bandar (town house) dua dan tiga tingkat, apartmen servis 35 tingkat serta kedai murah satu tingkat.
Menurutnya, projek yang sedang dibangun dan dirancang itu menekankan amalan pembinaan hijau, selari dengan usaha menyokong matlamat pembangunan mampan untuk kepentingan gaya hidup lestari, selain mengutamakan aspek keselamatan secara inklusif dan holistik demi kesejahteraan komuniti.
“Reka bentuk moden menampilkan ruang terbuka, siling tinggi untuk pengudaraan semula jadi dan tingkap bersaiz besar bagi pencahayaan maksimum bagi melengkapi keperluan gaya hidup masa kini vang mengutamakan keselesaan.
“Aspek keselamatan turut diperkemas dengan pemasangan CCTV, pos kawalan serta penyediaan taman permainan dan kawasan hijau bagi menyokong kehidupan komuniti yang sihat dan harmoni,” katanya. – UTUSAN