Ibu lapan anak kesal dianiaya syarikat kredit komuniti

Ibu lapan anak kesal dianiaya syarikat kredit komuniti

Syarikat kredit komuniti
RUSIAH Ahmad bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar bersama PKPKL dekat Cheras, di Hulu Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Seorang peniaga kedai makanan gusar apabila niat membantu rakannya sebagai penjamin bagi mendapatkan pinjaman daripada sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen menyebabkan sebidang tanahnya disekat oleh pihak berkuasa.

Mangsa, Rusiah Ahmad, 53, berkata, sebidang tanah seluas hampir seekar yang didudukinya di Teluk Kemang, Port Dickson berdepan sekatan kaveat.

Kata ibu kepada lapan anak itu, lebih mengecewakan apabila kaveat tersebut dikeluarkan terhadapnya sedangkan dia bukanlah peminjam dan tidak menerima satu sen pun pinjaman daripada syarikat berkenaan.

Malah menurutnya, pinjaman yang diperolehi rakannya itu adalah pinjaman tidak bercagar dan dia tidak pernah memaklum atau mengisytihar sebarang aset atau hartanah kepada syarikat berkenaan.

“Amat mengecewakan kerana dalam satu saman yang diterima mengatakan saya sebagai peminjam bersama, sedangkan saya hadir ketika pemohonan pinjaman dibuat oleh rakan saya, adalah sebagai penjamin.

“Saya tidak tahu, saya tidak pernah memaklumkan apa-apa harta yang saya ada kepada syarikat berkenaan (yang berpangkalan di Kuala Lumpur). Saya hanya menjadi penjamin dan tidak menerima wang daripada pinjaman tersebut.

“Saya amat marah dan sedih kerana impian anak-anak untuk mendirikan empat buah rumah mesra rakyat di situ tidak dapat direalisasikan,” katanya pada sidang akhbar bersama Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), hari ini.

Jelas Rusiah, dia hanya menyedari tanah hampir seekar yang keluasannya berbaki tiga perempat suku itu disekat apabila anak-anaknya memohon skim pembinaan rumah daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

Katanya, selepas mengetahui situasi tersebut, dia merujuk ke Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson pada 25 Jun lalu untuk menyemak dan disahkan oleh pihak berkuasa itu terdapat status kaveat dikenakan ke atas hartanah miliknya.

Tambahnya, pada mulanya dia terkejut apabila menerima surat saman atas alasan gagal melunaskan hutang berjumlah RM400,000 sedangkan pinjaman asal hanya RM200,000.

Sementara itu, peguam, Muhammad Izhar Mohd. Salehuddin memberitahu, beliau bersama PKPKL bersedia membantu Rusiah sebagai anak guamnya bagi memfailkan pertikaian terhadap status kaveat berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban.

“Ia suatu yang bertentangan dengan perjanjian dibawah Jadual J berkenaan permohonan pinjaman tidak bercagar. Sedangkan bagi pinjaman permohonan bercagar perlu menggunakan Jadual K Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Justeru, tindakan mengenakan kaveat ke atas hartanah menggunakan alasan disaman di mahkamah apatah lagi mengatakan anak guam sebagai peminjam bersama adalah tidak sah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN