KLANG: Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (KOSAS) kini menjangkau 50 tahun usia penubuhannya berhasrat mengembangkan pelaburan dalam bidang hartanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM180 juta.
Ia melibatkan projek-projek di Olak Lempit, Jalan Kebun, Cahaya Sepadu dan Kenting selain projek berkaitan kesihatan berasaskan warisan Melayu di Pulau Langkawi.
Pengerusinya, Datuk Md. Aini Taib berkata, ia akan dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang di samping memperkukuh sektor kewangan, pertanian dan pelaburan mampan oleh koperasi.
Menurutnya, dalam sektor mikrokredit dan Ar-Rahnu, KOSAS kini mengendalikan dua cawangan Ar-Rahnu dengan modal kerja sebanyak RM23.7 juta dan bagi tahun hadapan, tambahan modal melalui pembiayaan bank, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan skim simpanan anggota dijangka meningkatkan pendapatan sektor itu daripada RM18 juta kepada RM21 juta setahun.
Bagi sektor pertanian, KOSAS sedang membangunkan Ladang Kampung Kundang sebagai Pusat Kecemerlangan (COE) Nanas MD2 meliputi kawasan seluas kira-kira 81 hektar dengan sasaran pengeluaran 240,000 biji nanas segar dan dua juta sulur benih setahun mulai Mei 2026.
“Selaras agenda kelestarian, KOSAS turut meneroka projek ladang solar di Kelantan dan Selangor seluas kira-kira 90 ekar (36 hektar) yang dijangka menjana pendapatan sekitar RM280,000 setahun selain merancang pembangunan lokasi acara di Lembah Klang.
“Insya Allah, kita mempunyai kemampuan dan yakin untuk meneruskan perancangan pembangunan untuk lima tahun akan datang. Kita memang berhasrat meneruskan pelaburan terutama dalam pembangunan hartanah kerana sekarang kita ada lima pembangunan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas KOSAS, malam tadi.
Seramai 3,000 anggota koperasi hadir pada majlis tersebut yang komited meneruskan sumbangan pelaburan mereka kepada koperasi itu bagi meneruskan perancangan masa depan KOSAS.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang hadir merasmikan majlis tersebut ketika ditemui memberitahu beliau yakin dengan kekuatan KOSAS dalam pelaburan apabila menunjukkan hasilnya dan pulangan baik kepada anggota-anggota koperasi.
“Banyak koperasi baharu yang ditubuhkan, ada yang lama, kita akan cari 10 atau 20 role model untuk kita kembangkan dan padankan dengan koperasi-koperasi baharu sebab kaedah koperasi itu sangat berjaya di Jepun dalam bidang pertanian, makanan, keselamatan bekalan dan itu juga akan menjadi sebahagian strategi kita pada 2026.
“Mereka memang sudah melabur dalam sektor hartanah, pelancongan, perladangan dan berjaya, malahan memberikan hasil yang baik kepada anggota-anggota,” ujarnya.
Beliau menambah, kejayaan KOSAS dilihat disumbang oleh kecekapan dalam mengurus serta tatakelola baik yang meningkatkan keyakinan anggota untuk meneruskan pelaburan mereka. – UTUSAN










