HULU LANGAT: Tindakan sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen sewenang-wenangnya menggunakan proses mahkamah dan undang-undang bagi mengenakan kaveat hartanah atas pinjaman tidak bercagar adalah tidak wajar.
Malah, melakukan tindakan sedemikian ke atas seseorang yang menjadi penjamin kemudian diisytihar sebagai peminjam bersama di mahkamah tanpa pengetahuannya adalah suatu bentuk penganiayaan.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, syarikat pemberi pinjaman wang itu juga dipercayai mengemukakan dokumen atau butiran palsu kepada mahkamah untuk menyaman mengenakan sekatan ke atas hartanah secara tidak sah.
Menurutnya, ia jelas satu bentuk penganiayaan ke atas individu menerima pinjaman wang daripada syarikat berkenaan, apatah lagi mereka yang menjadi penjamin.
“Dalam kes yang diadukan oleh Rusiah Ahmad kepada kami, dia tidak pernah menerima sebarang duit, tak pernah dapat. Tidak ada sebarang baucar dan sebagainya diberikan kepada Rusiah. Tetapi, dia disaman sebagai peminjam bersama.
“Saya sendiri sudah hadir ke Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson untuk melihat sendiri dokumen-dokumen yang digunakan untuk kaveat,” katanya, ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang peniaga kedai makanan gusar apabila niat membantu rakannya sebagai penjamin bagi mendapatkan pinjaman daripada sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen menyebabkan sebidang tanahnya disekat oleh pihak berkuasa.
Mangsa, Rusiah Ahmad, 53, berkata, sebidang tanah seluas hampir seekar yang didudukinya di Teluk Kemang, Port Dickson berdepan status kaveat.
Jelas Samsudin, dalam kes tersebut syarikat berkenaan menggunakan dokumen mahkamah iaitu saman untuk kaveat tanah mangsa yang jelas sekali penyalahgunaan proses undang-undang.
“Perjanjian yang ditandatangani oleh Rusiah sebagai penjamin dan rakannya sebagai peminjam adalah di bawah Jadual J bukan K Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
“Tetapi, mereka menggunakan Jadual J dan dokumen saman mahkamah, bukannya perintah untuk memperdaya pejabat tanah bagi memasukkan satu kaveat. Itu adalah satu penganiayaan yang nyata,” tegasnya.
Beliau menambah, mangsa juga sudah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson kerana pihaknya mendapati terdapat perlakuan jenayah terancang untuk menuntut suatu jumlah wang yang tidak terhutang.
“Ia adalah satu jenayah terancang. Lesen pemberi pinjam wang bukan suatu kebenaran untuk melakukan perbuatan sedemikian. Bukti sudah ada pada kami, kami sedia untuk menghantar segala bukti kepada polis.
“Kemudian, satu aduan sudah pun dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pejabat menterinya,” jelasnya. – UTUSAN










