KUALA LUMPUR: Berjaya tembusi kelompok tiga teratas, TV AlHijrah mencatat pencapaian membanggakan apabila menjadi stesen televisyen pilihan penonton Melayu sepanjang minggu pertama Ramadan tahun ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, syer tontonan saluran tersebut juga meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan penghargaan atas prestasi cemerlang TV AlHijrah sepanjang bulan Ramadan lalu. Syer tontonan saluran ini meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Paling membanggakan, TV AlHijrah berjaya menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan. Ini adalah pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya. Lonjakan ini bermula seawal minggu sebelum Ramadan dan kekal konsisten sepanjang bulan yang mulia.
“Kejayaan ini didorong oleh program-program dalam slot Maghrib seperti Falah Insani, Kalam Junjungan, Taranum Challenge, Ibrah Ramadan dan Panggilan Ilmu, serta slot awal pagi seperti Assalam Sahur, Assalam Subuh dan Hadis@114,”’katanya.
Mohd Na’im berkongsi berita gembira itu ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu, hari ini.
Menurut Mohd Na’im, pencapaian tersebut bukan sekadar angka semata-mata, tetapi mencerminkan potensi besar TV AlHijrah sebagai saluran Islam berautoriti yang berupaya menyajikan kandungan yang segar, progresif, serta memimpin arus pemikiran umat dalam era digital.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negara ini, saya amat menghargai usaha TV AlHijrah yang konsisten menyampaikan syiar Islam dengan pendekatan berasaskan ilmu, kreativiti dan kefahaman semasa.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan mendokong tekad kita untuk melihat Islam terus mekar di bumi Malaysia. Tahniah saya ucapkan kepada Namanzee Harris (Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah) dan seluruh warga kerja TV AlHijrah atas komitmen luar biasa.
“Justeri diharapkan program sempena sambutan Haji ini menjadi antara usaha dakwah paling signifikan pada tahun ini, dan menjadikan TV AlHijrah bukan sekadar stesen penyiaran, tetapi madrasah rohani buat rakyat Malaysia menuju Allah SWT,” jelasnya.
Sementara itu, Namanzee berkata, pencapaian yang diraih stesen TV tersebut pada Ramadan lalu memberi peluang untuk mereka terus membawakan program bermanfaat kepada masyarakat sempena sambutan Aidiladha pada tahun ini.
“Sejak 15 tahun penubuhan TV AlHijrah, ini adalah kejayaan pertama kami apabila berjaya menduduki tangga tiga terbaik sebagai stesen TV yang mencatatkan rating tinggi.
“Kami percaya kandungan yang dibawakan selari dengan selera masyarakat. Walaupun rata-rata mungkin meminati hiburan dan drama, tapi saya melihat masih ramai yang meminati program kerohanian,” ujarnya.-UTUSAN