Tubuh jawatankuasa khas guru duka lara

Tubuh jawatankuasa khas guru duka lara

Penubuhan jawatankuasa khas guru duka lara penting supaya kelonggaran syarat pertukaran dari tiga tahun kepada dua tahun perkhidmatan yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak disalahgunakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan dicadang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menilai permohonan guru yang benar-benar layak untuk pertukaran tempat kerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini penting supaya kelonggaran syarat pertukaran dari tiga tahun kepada dua tahun perkhidmatan yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak disalahgunakan.

Katanya, NUTP mencadangkan supaya rayuan berhubung alasan penyakit kritikal, keluarga dan rumah tangga perlu diberi keutamaan untuk kelulusan pertukaran.

“Alhamdulillah, pertama sekali, NUTP amat berterima kasih kepada Menteri Pendidikan kerana mendengar suara kami dan bersetuju memendekkan syarat pertukaran iaitu dari tiga tahun kepada dua tahun perkhidmatan. Ini satu keputusan yang sangat baik.

“Bagaimanapun, NUTP mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas di bawah kementerian ditubuhkan untuk membuat penilaian secara telus bagi setiap permohonan pertukaran oleh guru-guru bagi dipertimbangkan.

“Ini kerana NUTP bimbang jika ada guru yang tiada keperluan untuk bertukar tetapi tetap memohon dan ia akan mengakibatkan kesesakan sistem dan kita tidak mahu kelonggaran ini disalahgunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, keputusan kementerian untuk memendekkan syarat pertukaran itu adalah rentetan daripada isu Cikgu Din atau nama sebenarnya Mohamad Izzudin Izhar, 34, yang terpaksa berjauhan dengan isterinya, Nur Atiqah My Yusoff, kerana bertugas di Sarawak manakala wanita itu menghidap kanser tulang berada di Kelantan.

Isu tersebut tular apabila Cikgu Din berkongsikan kisah sedih itu di Facebook miliknya pada Oktober tahun lalu selepas permohonannya untuk bertukar ke Semenanjung untuk menjaga isterinya ditolak.

Setelah mengadakan perbincangan antara KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan, persetujuan dicapai untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.

Bagaimanapun, setelah lama bertarung nyawa dengan penyakit barah tulang rawan tahap empat, Nur Atiqah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Disember tahun lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan menyifatkan pengumuman itu adalah satu ‘hadiah istimewa’ kepada warga pendidik seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, proses penempatan guru duka lara ini perlu mengambil kira penempatan khususnya di luar bandar agar prestasi murid menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

“Sebolehnya, pihak kementerian perlu meletakkan guru dan pakar yang profesional di luar bandar bagi menjamin prestasi mereka menjadi lebih baik, malah ia dapat merapatkan jurang pendidikan dengan sekolah-sekolah yang mempunyai keputusan cemerlang.

“Ini kerana murid-murid di luar bandar juga memerlukan guru yang terbaik untuk membimbing mereka melonjakkan lagi pencapaian sebelum ini,” ujarnya lagi.

Semalam, Fadhlina mengumumkan permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN