SEREMBAN: Trend kenderaan berat dipandu melebihi had laju di lorong kanan lebuh raya secara berterusan semakin membimbangkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan lorong paling kanan yang dijalankan sebanyak 800 saman telah dikeluarkan pada tahun lalu.
Bagi tahun ini, setakat bulan April lalu, sebanyak 220 saman telah dikeluarkan membabitkan kenderaan perkhidmatan barangan (111 saman) dan kenderaan perkhidmatan awam (96 saman).
” Kenderaan berat sepatutnya tidak dipandu di lorong kanan kerana had laju ditetapkan pada 80 kilometer sejam. Namun, ada pemandu yang memandu sehingga 100 kilometer sejam di lorong kanan, yang mana ini meningkatkan risiko kemalangan di lebuh raya.
“Ini adalah satu perkara yang serius kerana kenderaan berat perlu menggunakan lorong tengah atau kiri dan tidak seharusnya dipandu dengan laju di lorong kanan,” katanya pada sidang akhbar Operasi Penguatkuasaan Teknikal Kenderaan Perdagangan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, JPJ akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara khususnya bagi kenderaan berat yang memandu secara berterusan di lorong kanan lebuh raya
Aedy Fadly dalam pada itu mengakui, sikap pemandu yang kurang mengambil serius tanggungjawab keselamatan walaupun telah mengikuti kursus lesen memandu kenderaan barang menjadi salah satu punca berterusan masalah ini.
“Ramai pemandu hanya fokus memperbaharui lesen tanpa menghiraukan aspek keselamatan jalan raya. Oleh itu, JPJ sedang mengkaji langkah untuk menambah baik modul latihan dan pendidikan jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Aedy Fadly berkata, JPJ juga akan melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha Tahun 2025 bermula 4 hingga 10 Jun.
Jelasnya, operasi berkenaan memberikan fokus kepada sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan membawa muatan berlebihan. – UTUSAN