Timor Leste yakin menjadi anggota tetap ASEAN Oktober ini

Timor Leste yakin menjadi anggota tetap ASEAN Oktober ini

KAY RALA XANANA GUSMAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timor-Leste yakin negara tersebut akan dapat memenuhi instrumen, sekali gus menjadi anggota tetap ASEAN menjelang Oktober ini.

Perdana Menterinya, Kay Rala Xanana Gusmao berkata, keyakinan itu adalah mengambil kira sokongan yang diberikan oleh negara-negara ASEAN lain terhadap Timor-Leste. 

“Iya..iya kerana semua orang menyokong. anda tahu mengapa? kerana kami adalah sebuah negara kecil keseorangan di sana,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. 

Semalam, ASEAN memberi gambaran persetujuan untuk menerima Timor Leste sebagai anggota penuh blok serantau itu, namun peranan perlu segera dimainkan negara tersebut untuk memenuhi segera instrumen undang-undang yang ditetapkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri itu turut berkata, Timor-Leste telah mencuba yang terbaik bagi memenuhi instrumen yang ditetapkan bagi memperoleh status anggota tetap.

“Saya percaya begitu. Kami telah mencuba yang terbaik. Kami telah mencapai banyak kriteria.

“Tetap ada satu, dua atau tiga perkara lagi. Kami akan lakukannya sebelum akhir tahun,” ujarnya. 

Berdasarkan peraturan sedia ada, terdapat 88 prasyarat ditetapkan yang perlu dipenuhi oleh Timor-Leste sebelum boleh menjadi ahli penuh rantau itu.

Untuk rekod, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan 41 pada November 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11, dengan syarat negara itu memenuhi kriteria digariskan dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh.

Malah, Malaysia dan Laos ini turut mengulangi sokongan mereka terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan menyeru usaha yang lebih giat dan inklusif untuk menangani krisis berpanjangan di Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN