Tiga termasuk dua pegawai KDN bebas dengan jaminan

Tiga termasuk dua pegawai KDN bebas dengan jaminan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula tiga individu termasuk dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) meskipun mereka dibebaskan dengan jaminan.

Satu sumber berkata, kesemua mereka disiasat berhubung kes rasuah berkaitan urusan mempercepatkan permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW) namun dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka diambil.

Kata sumber itu, salah seorang yang ditahan bergelar Datuk dan bertugas di KDN sementara orang awam wanita pula bertugas sebagai setiausaha.

“Mereka bagaimanapun tidak ditahan sebaliknya dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil pegawai SPRM,” katanya

Tambah sumber, siasatan masih berjalan dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pihak yang akan dipanggil untuk bantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 65 tahun itu ditahan antara pukul 1 tengah hari sehingga 5 petang.

Ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan susulan maklumat yang diterima berhubung kes rasuah berkaitan dengan urusan mempercepatkan permohonan PTW.

Operasi ini adalah lanjutan daripada Ops Outlander yang dijalankan SPRM baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat turut ditahan reman tiga hari sehingga esok kerana dipercayai terbabit rasuah bagi mempercepatkan urusan permohonan warga asing untuk mendapatkan taraf warganegara

Suspek disyaki bersekongkol bersama-sama beberapa individu lain yang bertindak memberi rasuah antara RM1,000 sehingga RM30,000 bagi setiap permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan kepada seorang pegawai sebuah jabatan sejak 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN