JOHOR BAHRU: Pengarah urusan dan pengurus kilang antara tiga individu yang ditahan dalam pemeriksaan di kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, penahanan itu dibuat susulan kegiatan pelupusan haram buangan terjadual di sebuah gudang terbiar di kawasan berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati terdapat buangan terjadual berkenaan ditanam di kawasan semak oleh sebuah premis pembuatan minyak bahan api.
“Hasil siasatan lanjut menemukan lebih kurang 16 bekas bahan cecair mengandungi buangan terjadual ‘SW 311’ iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak yang distor di dalam bangunan tinggalan kilang.
“Sebanyak tiga pensampelan buangan telah dijalankan dan dianalisa Jabatan Kimia Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr. Mohd. Famey, tangkapan terhadap dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 28 hingga 62 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 37C, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 24(1) dan Seksyen 34B(1)(a) akta yang sama.
“Pihak industri adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya. Kegagalan pematuhan terhadap peruntukan Jabatan akan menyebabkan tindakan perundangan dikenakan ke atas Syarikat dan juga Pengarah Syarikat,” ujarnya. – UTUSAN