Kanak-kanak 5 tahun maut dirempuh MPV ketika lintas jalan

Kanak-kanak 5 tahun maut dirempuh MPV ketika lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 petang itu, mangsa dipercayai sedang melintas dari kawasan perumahan ke seberang jalan sebelum dirempuh sebuah Toyota Avanza yang dipandu lelaki berusia 64 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, pemandu terbabit yang bekerja sebagai penyelia sedang memandu dari arah Paya Mengkuang menuju ke Masjid Tanah ketika kejadian berlaku.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Keadaan jalan di lokasi kejadian adalah satu lorong dua hala dengan permukaan kering dan cuaca baik, selain terdapat kesan brek sepanjang kira-kira lima meter di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap pemandu telah dijalankan dan didapati negatif, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli di Balai Polis Trafik Alor Gajah menerusi talian 011-2543 5507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN