SINGLE Diana Danielle, Raja Dusta, yang dilancarkan baru-baru ini menuai ‘cakap-cakap’ netizen yang mengandaikan lagu itu ibarat sindiran kepada bekas suami pelakon itu, Farid Kamil.
Kalau diamati liriknya, memang tanggapan kita akan terbawa ke arah persepsi itu.
Bukanlah mahu memenangkan netizen. Hakikatnya, Sesiapa yang mendengar lagu berkenaan pasti terus mengaitkannya dengan kisah hidup aktres tersebut apatah lagi Raja Dusta liriknya agak bersifat ‘terang lagi bersuluh’.
Tambah lagi, Diana pun baru sahaja bercerai dengan Farid. Dia berada dalam fasa masih ‘dikaitkan’ dengan bekas suami.
Namun, apabila Diana membuka mulut tentang perkara itu, barulah keadaan menjadi jelas. Raja Dusta bukan untuk menyindir sesiapa.
“Lagu itu tiada kena mengena dengan kisah hidup saya dan saya tak pernah gunakan lagu untuk sindir sesiapa.
“Kita ini, kalau nak buat apa sekali pun, sentiasa mahukan keberkatan. Tapi saya faham, dikaitkan ini normal.
“Saya bukan baru semalam menyanyi. Ada juga lagu-lagu nyanyian saya sebelum ini orang kaitkan dengan kisah hidup saya. Terserahlah kepada interpretasi masing-masing,” kata Diana.
Diana dan Farid bercerai buat kali kedua pada 24 Mac lepas. Bekas pasangan suami isteri selama 13 tahun itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Diana mengharapkan netizen berhenti mengaitkan kariernya dengan sejarah silamnya.
Kata aktres kacukan Melayu-Inggeris ini, biarlah namanya kembali diperkatakan kerana bakat dan kerja-kerja seninya.
“Tak seronoklah kalau lagu ini dikaitkan dengan orang lain (Farid). Saya ini cuma nak hiburkan orang, tapi fokus netizen lain pula tujunya.
“Saya baru nak aktif semula menyanyi. Jadi kalau boleh saya harap masyarakat fokus kepada kemampuan saya, apa yang saya boleh bagi kepada peminat saya.
“Bukan kepada isu remeh temeh. Mereka yang kenal saya tahulah, apa yang saya buat bukan untuk bagi perspektif buruk kepada orang lain,” jelasnya.
IDOLAKAN ANITA SARAWAK
Mengulas lanjut mengenai Raja Dusta, Diana mengatakan rentak lagu tersebut diinspirasikan daripada konsep muzik yang dibawakan penghibur legenda, Anita Sarawak.
“Saya membesar dengan menyaksikan kegemilangan Anita ketika kemuncak kerjaya seninya.
“Saya memandang beliau sebagai penghibur yang memukau. Saya ingat lagi menyaksikan persembahannya membawakan lagu Seksis dalam sebuah majlis penganugerahan terkemuka tanah air.
“Sebab itu saya katakan kepada pengurusan yang saya mahukan lagu seperti yang Anita nyanyikan. Seronok juga kalau saya dapat kembalikan era beliau,” jelasnya.