PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada perbincangan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dilakukan ketika pertemuan sulung beliau dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman hari ini.
“Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan Sabah dan usaha mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di Istana Seri Kinabalu, Sabah, hari ini seperti dipetik Bernama.
Beliau berkata, perbincangan itu menyentuh pelbagai sektor, termasuk minyak, dan mengambil kira input daripada pemimpin negeri, dengan tujuan menangani kebimbangan utama dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, lawatan beliau ke Sabah sangat penting untuk rakyat di sana.
“Lawatan ini penting dalam memacu Negeri Di Bawah Bayu ini ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang khususnya terkait kepada pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.-UTUSAN