KUANTAN: Kerajaan melalui Felda perlu memperkasakan kawasan tanah-tanah rancangan dengan menanam durian termasuk baka Musang King.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, isu penerokaan haram bagi menanam Musang King khususnya di negeri ini membuktikan bahawa perniagaan itu betul-betul memberikan pulangan lumayan.
“Kita ambil contoh di Pahang, isu penerokaan haram untuk menanam durian telah lama berlarutan selama lebih 40 tahun membabitkan lebih 14,000 hektar tanah kerajaan termasuk lebih 5,000 hektar hutan simpanan kekal (HSK).
“Ia suatu yang tragis dan menyakitkan seperti mana titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Jadi, sampai masanya kerajaan memperkasakan kawasan tanah rancangan Felda dalam usaha menyokong komoditi baru negara. Kalau setiap peneroka tanam 10 pokok durian, kira-kira satu juta pokok dapat dihasilkan jika 100,000 peneroka berbuat demikian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan khususnya Felda perlu melaksanakan program khas dalam menghadapi kecelaruan ekonomi dunia dan keterjaminan makanan negara.
“Melalui sistem yang sistematik akan dapat mengangkat martabat dan melonjakkan ekonomi lebih 100,000 peneroka seluruh negara. Apatah lagi mereka dibantu dengan kemudahan sedia ada termasuk teknologi dan inovasi, bakat yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.
“Ia bukan sahaja membantu masyarakat Felda tetapi dalam masa sama memperkasakan ekonomi negara. Seluruh jentera kerajaan dan pakar dalam industri ini mesti yakin dengan usaha kerajaan dalam melonjakan kualiti hidup masyarakat Felda,” katanya.
Berhubung isu penerokaan tanah kerajaan khususnya di negeri ini, beliau berkata, sekiranya kawasan diteroka adalah HSK, pendekatan khusus perlu diambil oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
“Perkara ini sudah berlanjutan sekian lama sehingga durian sudah mengeluarkan hasil dan perbicaraan panjang untuk mendapatkan keputusan ke atas kes pencerobohan haram ini.
“Oleh kerana kawasan yang terlibat adalah hutan simpan, mungkin ia perlu dipulihkan segera kawasan yang diteroka haram ini selain daripada tindakan undang undang sepatutnya,” katanya.
Menurutnya, tindakan segera pemuliharaan mesti diambil dengan menanam semula pokok-pokok hutan yang asal dan sesuai atas nasihat pakar seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Semua penduduk tempatan seperti masyarakat di kawasan Felda berdekatan dan Orang Asli boleh mendapat manfaat daripada proses pemulihan hutan yang diteroka haram berkenaan melalui aktiviti penyediaan anak-anak pokok berkaitan dan proses menanam semula pokok hutan.
“Sepatutnya program penyediaan benih ini berlaku selari dengan semua proses yang berlaku sepanjang kes berjalan. Memandangkan Pahang kaya kepelbagaian biologi dan banyak manfaat daripadanya, maka pemulihan hutan simpan yang diteroka haram mesti dilakukan,” katanya.-UTUSAN











