KOTA BHARU: Dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes samun enam cawangan kedai serbaneka di daerah ini direman empat hari.
Perintah tahanan reman yang bermula hari ini hingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli. Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penangkapan dua suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka di sini semalam, membantu polis menyelesaikan enam kes berkaitan kesalahan itu dalam tempoh kurang 72 jam.
Kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan pada pukul 6.45 pagi dalam serbuan di Jalan Sultanah Zainab di sini, oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Balai Polis Kota Bharu. – UTUSAN