SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada 32 individu termasuk Ketua Pendakwa Syarie dan Hakim Mahkamah Tinggi serta Rendah Syariah di negeri ini.
Penerima termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar Mahkamah, Pendaftar Wali Raja dan Pendaftar Kanan yang menerima watikah dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan pelantikan itu dibuat selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003).
“Pelantikan Ketua Pendakwa Syarie mengikut Subseksyen 78 (1) EPAINS dikurniakan kepada Sofian Ahmad daripada Jabatan Pendakwaan Syarie Selangor manakala Nenney Shuhaidah Shamsuddin sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri.
“Lantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah pula dikurniakan kepada Norsalwa Abdullah Thani, Nur Fattah Ahmed, Muhammad Jimmy Muhammad Azlin dan Rohaizad Redzuan,” katanya.
Dalam pada itu, pelantikan Pendaftar dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah negeri di bawah perenggan 60 EPAINS.
“Lantikan Pendaftar mahkamah itu dikurniakan kepada Marina Abdul Rahman manakala Timbalan Pendaftar kepada Abd. Halim Abu Samah, Muhammad Hafiz Moksin dan Noranizan Mohd. Sufian.
“Turut dilantik Mohd. Khairi Kamis, Siti Salmiah Ismail, Adibah Umar, Noor Syazweena Mohamad Sakdun dan Nurul Hidayah Jani,” katanya.
Selain itu, seramai tiga penerima watikah Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di bawah perenggan 60 (c) EPAINS dikurniakan kepada Nurul Nabilah Mohd. Sabaruddin, Nurrul Izzah Mohd. Jamil dan Nur Liyana Meswan.
Pelantikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di bawah Subseksyen 58 (1) menerangkan bahawa keputusan dibuat Baginda Sultan selepas berunding dan atas nasihat Majlis, dan Ketua Hakim Syarie.
Bagi pelantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, ia di bawah Subseksyen 59 (1) termasuk atas nasihat daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama.
Pada istiadat itu, seramai 11 individu menerima watikah pelantikan Pendaftar Wali Raja di bawah Subseksyen 28 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 antaranya Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir. – UTUSAN