PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi peternakan babi secara besar-besaran di negeri itu.
Sultan Selangor menzahirkan perasaan tidak setuju dengan keputusan kerajaan negeri membabitkan operasi peternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.
Namun, Baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal, demi memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di negeri Selangor.
Baginda bertitah, perancangan peternakan babi berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam.
“Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak tahun 2010.
“Penduduk sekitar telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan, yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, semalam.
Sultan Sharifuddin mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor demi pembangunan ekonomi.
“Kerajaan Negeri hendaklah bertindak dengan amanah, telus dan bertanggungjawab, serta mengutamakan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menzahirkan penegasan bahawa kediaman Baginda, Istana Pantai Bahagia juga terletak di kawasan Kuala Langat.
Baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut.
“Justeru, adalah tidak munasabah untuk isu yang berlarutan lebih sedekad ini dibiarkan berulang dalam skala yang lebih besar,” titah baginda.
Baginda turut mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.
“Baginda tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar kerana bimbang masalah pencemaran yang telah berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.
“Justeru, Baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan,” titah baginda.
Sultan Selangor turut mengimbas kembali inisiatif kerajaan negeri yang pernah menghantar wakil ke luar negara untuk mendapatkan informasi tentang penternakan babi secara moden.
Bagaimanapun, inisiatif itu dikhabarkan menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan.
“Jadi, Baginda mempersoalkan cadangan terbaharu ini sama ada ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sedangkan peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital,” titah baginda. – UTUSAN










