PETALING JAYA: Para graduan diingatkan supaya sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa yang menjadi kunci kepada kejayaan yang dikecapi mereka hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, keberkatan hidup serta kejayaan para graduan hadir adalah hasil doa dan sokongan berterusan daripada ibu bapa.
Titah baginda, para graduan tidak seharusnya melupakan pengorbanan besar yang dicurahkan ibu bapa dan pendidik dalam membentuk kejayaan mereka.
“Kejayaan dan keberkatan hidup yang diperoleh hari ini adalah berkat doa ibu bapa. Oleh itu, janganlah kita melupakan ibu bapa dalam setiap kejayaan yang kita capai.
“Berbaktilah dan santunilah mereka dengan baik, kerana pengorbanan ibu bapa sangat besar dan tidak terbalas.
“Begitu juga pendidik yang telah menjadi tulang belakang kepada kemajuan bangsa dan negara,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 di Serdang, Selangor hari ini.
Pada hari pertama bagi sidang kedua kali ini, UPM meraikan seramai 715 graduan merangkumi peringkat doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda.
Antara yang turut diiktiraf termasuk penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Pengembangan kepada Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Paduka Dr. Khatijah Mohamad Yusoff.
Baginda dalam pada itu turut menzahirkan peringatan agar graduan menjaga maruah universiti selepas memasuki alam pekerjaan, selain menjauhkan diri daripada sebarang salah laku.
“Beta juga mengingatkan kepada seluruh graduan UPM supaya menjaga maruah dan nama baik universiti selepas tamat pengajian dan menyertai alam pekerjaan.
“Janganlah terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah yang boieh menjurus kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa,” titahnya. – UTUSAN










