KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan tindakan perebutan kuasa akan merugikan serta menyebabkan orang Melayu berpecah-belah.
Baginda bertitah, perebutan kuasa hanya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan dan perpecahan dalam kalangan ahli kariah khususnya umat Islam.
Tegasnya, baginda tidak mahu menerima sebarang aduan perebutan jawatan nazir atau ahli jawatankuasa masjid dan surau kerana sikap itu menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan dan perpecahan.
“Jawatan berkenaan bukan satu jawatan politik untuk direbutkan bagi kepentingan peribadi, sebaliknya adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada anda semua dan akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.
“Beta tidak mahu orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti, akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Kepada Nazir-Nazir dan Imam-Imam Masjid Seluruh Selangor, semalam.
Dalam titah pada istiadat tersebut, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan nazir dan imam yang dilantik tidak memegang jawatan dalam mana-mana parti politik sehingga boleh membawa kepada kepentingan agenda peribadi.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan nama surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Beta tidak mahu dengar ada dalam kalangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau terlibat secara langsung dalam politik kepartian termasuklah memegang apa-apa jawatan politik kerana boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” tegas baginda.
Malah, Sultan Selangor turut mengingatkan pelantikan sebagai nazir dan imam bukanlah suatu jawatan politik untuk direbutkan bagi kepentingan beribadi, sebaliknya amanah yang dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak.
Dalam titah ucapan itu, baginda juga menegur berhubung dengan pengurusan kewangan masjid dan surau dan menegaskan bahawa amanah ini hendaklah dipelihara dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan penuh integriti.
“Beta tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan dana masjid dan surau. Wang masjid adalah hasil sumbangan orang ramai dan milik orang Islam, hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk manfaat umat Islam dengan berpandukan hukum syarak.
“Beta tidak mahu agama Islam ini dipandang serong oleh penganut agama lain. Cukup-cukuplah kesucian agama Islam dicemari dengan kisah-kisah penyelewengan yang melibatkan orang Melayu Islam sehingga ada yang sudah diheret ke mahkamah akibat amalan rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa.
“Beta mahu semua akaun masjid dan surau hendaklah diurus mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga memandang serius budaya fitnah-memfitnah dan menyebarkan berita palsu terhadap mana-mana pihak terutama melalui media sosial kerana perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan ukhuwah serta perpaduan.
Titah baginda, setiap maklumat atau berita hendaklah disemak dengan mendalam dan diteliti kesahihannya serta memandang serius budaya fitnah dan menyebarkan tohmahan terhadap mana-mana pihak terutama dalam media sosial.
“Janganlah ada dalam kalangan anda gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara perkara kecil hingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.
“Beta juga ingin mengingatkan semua nazir termasuk ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya jangan mudah percaya kepada penyebaran berita palsu apatah lagi menyebarkannya tanpa usul periksa.
“Setiap maklumat hendaklah disemak kerana fitnah itu lebih besar daripada membunuh. Ketahuilah beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas,” titah Sultan Sharafuddin. – UTUSAN










