PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melihat keperluan untuk memanggil semula suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hilang pada 9 April lalu untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suami Pamela, Datuk Seri Hah Tiing Siu sudah pun dipanggil untuk dirakam percakapan sebelum ini.
“Namun, untuk memanggil suaminya semula, sudah pasti kita (polis) memerlukan bukti-bukti baharu yang boleh dikaitkan bagi keterangannya dirakam.
“Sebelum panggil, kita (polis) perlu bersedia dan tahu apa yang kita mahu untuk dia jawab. Kalau kita hanya panggil begitu sahaja, tiada guna (keperluan),” katanya di sini hari ini.
Semalam, polis meminta beberapa saksi termasuk anak-anak kepada Pamela yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes penculikan wanita terbabit.
Beliau berkata, setakat ini belum mengambil keterangan individu-individu terbabit.
Bagaimanapun, sekiranya saksi gagal memberikan kerjasama, menurutnya, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura.
Selasa lalu, media melaporkan siasatan polis menjurus kepada penglibatan suaminya dan beberapa individu lain dengan pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti semua sudut termasuk motif serta kemungkinan kaitan dengan kes pengubahan wang haram.
Pamela yang merupakan isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM. Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis. – UTUSAN