Suami mangsa simbah asid yakin ada suspek lain

Suami mangsa simbah asid yakin ada suspek lain

MUHAMMAD Syahrul Ikhwan Seri Buana menunjukkan gambar isterinya yang disimbah asid dalam kejadian di Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Suami kepada pemilik spa dan salun yang disimbah asid di Beris Kubur Besar dekat sini, Sabtu lalu percaya ada suspek lain terlibat dalam kejadian yang menyebabkan kecederaan parah pada bahagian belakang dan lengan isterinya.

Muhammad Syahrul Ikh­wan Seri Buana, 33, berkata, penangkapan seorang wanita yang merupakan pekerja kilang getah kelmarin berkemungkinan hanya untuk membantu siasatan awal polis bagi mengesan suspek lain.

Katanya, dia berharap polis dapat mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Meskipun polis menahan seorang wanita di Kuala Krai, saya percaya ada suspek lain yang menyimbah asid ke arah isteri saya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha menjalankan siasatan sehingga tertangkap salah seorang suspek. Saya harap kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya ketika dihubu­ngi.

Terdahulu, seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang getah ditahan bagi membantu siasatan pada pukul 4 petang, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Muhammad Syahrul Ikh­wan berkata, keadaan iste­rinya, Nor Faziera Muda, 37, bertambah baik apabila sudah boleh makan dan minum, namun perlu berpuasa untuk menjalani pembedahan.

“Saya menemani isteri setiap malam selepas dia dipindahkan ke wad unit rawatan kebakaran. Isteri saya juga pernah bertanya sama ada suspek sudah ditangkap,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN