KUALA PILAH: Pembinaan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini yang menelan kos sebanyak RM153 juta dijangka siap Februari tahun sekali gus mampu mengurangkan kesesakan di bangunan sedia ada.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnab Abu Hassan berkata, projek tersebut sebelum ini pernah diklasifikasikan sebagai projek sakit namun kini kembali berjalan seperti yang dijadualkan.
“Lawatan ini adalah yang kedua selepas kami buat lawatan kerja pertama tahun lalu, ketika itu projek ini diklasifikasikan sebagai projek sakit, kerana kelewatan menyiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Pihak kontraktor memaklumkan ia berpunca daripada beberapa pekerja pembinaan yang terpaksa pulang ke negara asal dan sukar untuk masuk ke Malaysia akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ketika pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek berkenaan hari ini.
Menurut Adnan, pihak kontraktor telah diberi tempoh baharu bagi menyiapkan projek tersebut serta kini ia telah siap melebihi 90 peratus.
Tambahnya, blok enam tingkat berkenaan akan menempatkan beberapa perkhidmatan pakar seperti ortopedik, bedah (surgical) dan perubatan yang sebelum ini beroperasi di bangunan lama.
“Apabila perkhidmatan ini dipindahkan ke blok baharu, ia akan mengurangkan kesesakan di bangunan sedia ada. Namun, saya sudah minta pihak hospital pastikan pengurusan sumber manusia di kedua-kedua bangunan ini disusun baik dan mencukupi.
Sementara itu, Adnan yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Malaysia mengakui masalah kekurangan pegawai perubatan dan jururawat dihadapi di semua hospital seluruh negara.
“Pihak Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan bagi mengatasi isu kekurangan tersebut. Tetapi bagi saya, isu ini tidak boleh diuruskan KKM sahaja kerana ia juga melibatkan jabatan lain contohnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta aspek kewangan.
“Jadi saya harap penjawatan bagi mengisi kekosongan di bangunan tambahan ini dibuat permohonan lebih awal kerana ia melibatkan jururawat dan doktor. Jangan nanti apabila sudah siap, bangunan ada tetapi kakitangan tiada,” ujarnya. – UTUSAN










