Kerajaan perlu tolak pencalonan Nick Adams - PN - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu tolak pencalonan Nick Adams – PN

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang dilihat amat membimbangkan.

Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, ini kerana Adams merupakan seorang pengulas politik berhaluan kanan tegar dan berpendirian ultra pro-Israel, serta tiada pengalaman dalam bidang diplomasi.

Katanya, pelantikan tersebut justeru  dilihat satu penghinaan yang disengajakan terhadap kerajaan Malaysia dan mencerminkan kekurangan rasa hormat terhadap kedaulatan serta maruah diplomatik negara.

“Memandangkan kecenderungan ideologi calon ini dan rekod peribadi yang membimbangkan, adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk tidak memberikan persetujuan rasmi  seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961) terhadap pelantikan Nick Adams. 

“Malaysia sebagai negara berdaulat berhak untuk menolak mana-mana calon duta yang dilihat boleh menjejaskan hubungan dua hala atau bertentangan dengan nilai dan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Adams sebelum ini dinamakan sebagai calon bagi menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat profesional yang dicalonkan untuk jawatan itu oleh Presiden Joe Biden pada Mei 2023. 

Dalam pada itu, Wan Ahmad Faysal turut menggesa agar Kementerian Luar segera mengeluarkan nota bantahan diplomatik rasmi kepada kerajaan AS dengan menyatakan dengan jelas penolakan Malaysia terhadap pencalonan itu.

“Kegagalan untuk bertindak dengan tegas akan mencerminkan kelemahan pentadbiran Madani dalam mempertahankan maruah negara dan kebebasan dasar luar Malaysia.

“Malaysia tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi penghinaan sebegini. Maruah negara mesti dipertahankan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN