PETALING JAYA: Tindakan pihak yang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman sebagai sesuatu melucukan.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menetapkan tarikh akhir bagi pelantikan segera jawatan tertinggi kehakiman.
Katanya, tindakan segelintir Ahli Parlimen, Majlis Peguam dan aktivis masyarakat sivil sebelum hanya dilihat sengaja mencetuskan kekecohan apabila berdasarkan andaian bahawa lantikan hakim dibuat Perdana Menteri dengan tidak semestinya mengikut cadangan nama disyorkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
“Histeria ini berpunca daripada andaian semata-mata. Ia belum pun berlaku. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, seperti mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus dan Datuk Mah Weng Kwai sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa Perdana Menteri tidak terikat untuk menerima syor SPK.
“Pada 2018, mereka menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi mengatasi Akta SPK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Apandi berkata, situasi sama tidak berlaku ketika terdapat pelanggaran nyata terhadap Akta JAC dan Perlembagaan Persekutuan yang direkodkan dalam Laporan Pasukan Petugas Khas (STF) mengenai dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas iaitu My Story: Justice in the Wilderness.
Beliau mendakwa, laporan itu membongkar hakikat bahawa pada Julai 2018, pelantikan nama jawatan tertinggi kehakiman iaitu Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan), Tan Sri Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya) dan Datuk David Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak) bukan nama syor SPK dalam mesyuarat pada 24 Mei 2018.
Katanya, ia sebaliknya adalah hasil perbincangan secara tertutup antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tommy yang disifatkannya sebagai memintas keseluruhan proses mengikut undang-undang.
Mohamed Apandi mendakwa, SPK dalam mesyuaratnya pada 17 Januari 2019 telah mencadangkan Ahmad Maarop sebagai Ketua Hakim Negara, David Wong sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Hakim Besar Malaya.
“Bagaimanapun Perdana Menteri (ketika itu) meminta dua nama tambahan dan SPK dalam mesyuaratnya pada 5 April 2019 mengemukakan nama Tengku Maimun dan Tan Sri Azahar Mohamed untuk jawatan Ketua Hakim; Azahar dan Tan Sri Rohana Yusuf untuk Presiden Mahkamah Rayuan serta Rohana dan Azahar untuk Hakim Besar Malaya.
“Pada akhirnya, yang dipilih ialah Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, Rohana sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Azahar sebagai Hakim Besar Malaya.
“Ironinya, mereka yang hari ini membantah lantikan dalam kalangan yang lebih junior diam membisu, malah menyokong ketika Tengku Maimun yang ketika itu lebih junior dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Di mana suara kecaman mereka pada waktu itu?
“Dr Mahathir, individu yang secara terang-terangan dilaporkan mencabuli proses SPK pada 2018 dan 2019, kini tampil bersama sekutunya sebagai ‘penjaga kebebasan kehakiman’. Terdapat juga segelintir peguam yang kini terang-terangan menyokong calon tertentu untuk jawatan Ketua Hakim Negara, sekali gus menjejaskan seruan mereka sendiri mengenai ketelusan dan pemisahan kuasa,” dakwanya.
Menurutnya, kemarahan terpilih terhadap pelanggaran belum berlaku, sambil menutup mata terhadap pelanggaran nyata yang sudah berlaku, mendedahkan kebobrokan dalam budaya politik-perundangan di negara ini.
“Ini bukan soal prinsip undang-undang, tetapi lebih kepada permainan kuasa, kepentingan peribadi dan hipokrasi politik yang diselindungi di sebalik slogan kebebasan kehakiman. Jika benar Majlis Peguam, masyarakat sivil dan pemimpin pembangkang ikhlas mahukan reformasi, mereka wajar bermuhasabah terhadap pelanggaran lalu yang mereka sendiri diamkan.
“Selagi itu tidak berlaku, jeritan mereka kosong makna. Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara konsisten, bukan sekadar apabila ia menguntungkan naratif politik tertentu,” katanya. – UTUSAN










