BALIK PULAU : Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan mendera anak perempuan mereka, kira-kira dua minggu yang lalu.
Tertuduh, Chew Kok Wan, 47, dan isteri Mak Wai Peng, 49, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah kondominium di Lorong Kenari, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 18 Mei lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, V. Parthipan.
Terdahulu, ketika prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 seorang, namun, Parthipan merayu agar jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya atas beberapa alasan.
Katanya, bapa mangsa bekerja sebagai penyelia kilang dengan gaji bulanan sebanyak RM5,500 manakala ibunya pula bertugas sebagai pengurus projek dengan gaji bulanan kira-kira RM7,000.
“Ibu mangsa juga baru sahaja selesai menjalani pembedahan awal kanser ovari dan kedua-dua tertuduh masih mempunyai seorang lagi anak berusia 15 tahun serta perlu menjaga kedua ibu bapa yang sudah uzur,” kata Parthipan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh dan melarang mereka daripada menganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga selesai.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan passport mereka kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan. Kes dijangka disebut semula 1 Julai ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki mendera anak mereka berusia 12 tahun susulan laporan dibuat guru besar sekolah mangsa, pada Selasa lalu.-UTUSAN