PUTRAJAYA: Projek pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) yang pertama di semenanjung menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia membangunkan teknologi rendah karbon.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, inisiatif ini mampu memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hidrogen dan sel bahan api.
Malah, katanya, ia menyokong sasaran negara untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050 selari dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).
“Stesen MHRS ini mampu mengisi sehingga 50 kilogram (kg) hidrogen setiap hari dan dibangunkan bagi merangsang permintaan pasaran secara proaktif melalui kerjasama dengan pemilik serta pembekal kenderaan hidrogen (FCEV).
“Inisiatif ini menjadi penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran pelepasan karbon, kebergantungan kepada bahan api fosil serta kekurangan infrastruktur bahan api alternatif,” katanya ketika berucap melancarkan stesen MHRS, di tapak letak kenderaan 2M8, Presint 2. di sini hari ini.
Lih Kang berkata, MHRS membuktikan potensi teknologi sel bahan api hidrogen dan meletakkan asas kepada ekosistem pengangkutan hijau di Malaysia.
Katanya, ia menyumbang secara langsung kepada matlamat negara dalam mempercepatkan peralihan tenaga serta mencapai masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Putrajaya dipilih sebagai lokasi strategik bagi stesen MHRS kerana infrastrukturnya yang lengkap, logistik yang cekap, serta ketersediaan tapak sesuai tanpa kekangan tanah.
“Lokasi ini bukan sahaja menyokong penggunaan awal oleh pengangkutan awam seperti bas dan lori berkuasa hidrogen, malah memudahkan aktiviti pengesahan teknologi dan demonstrasi awam,” katanya. – UTUSAN










