SPRM kekal lucut hak harta Tun Daim, keluarga yang tidak diisytihar

SPRM kekal lucut hak harta Tun Daim, keluarga yang tidak diisytihar

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal mengambil tindakan untuk melucutkan hak sebahagian harta milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin dan keluarga yang tidak diisytihar.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan terdapat banyak kertas siasatan dibuka SPRM bagi tindakan melucutkan harta itu.

Beliau turut menyelar kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.

“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya untuk dilucutkan hak.

“Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan.

“Setakat ini ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya… ia mungkin bertambah… mungkin selepas ini,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar minggu lalu, Azam mengesahkan, SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin dan keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Beliau berkata, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.

Harta itu, katanya, membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi kepada Allahyarham Daim yang juga bekas pemimpin UMNO.

Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.

Ia, katanya, kerana Allahyarham Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN