SPRM perlu diterajui ‘orang luar’ - Utusan Malaysia

SPRM perlu diterajui ‘orang luar’

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diterajui oleh orang luar daripada agensi itu bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit terutama dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dijangka berakhir Mei ini wajar tidak disambung.

Mukhriz berkata, imej SPRM sebagai agensi penguatkuasaan mula tercemar rentetan dakwaan pemilikan saham oleh Azam dan mafia korporat yang dikaitkan dengan SPRM.

“Cadangan kami ialah supaya orang luar yang berkelayakan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu. Seperti mana dibuat ketika zaman Latheefa Koya yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Selepas itu, bila keadaan sudah kembali stabil, keadaan sudah membaik, lantikan daripada dalaman pun boleh boleh dibuat.

“Cuma, kita rasa sepatutnya kalau boleh cadangan itu janganlah datang daripada Perdana Menteri sendiri. Ini mungkin boleh dibahaskan dalam Parlimen, nama-nama boleh dikemukakan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di sini, semalam.

SIDANG akhbar MUDA dan Pejuang di Ibu Pejabat MUDA, Petaling Jaya, Selangor.

MUDA dan Pejuang melancarkan ‘Kempen Tangkap Azam Baki’.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, kempen digerakkan berikutan tiada tindakan dilakukan untuk menyiasat dakwaan isu mafia korporat terhadap pihak-pihak terlibat.

“Isu paling utama dalam artikel Bloomberg ini berkenaan dengan mafia korporat. Sehingga ke hari ini, dari tarikh Bloomberg mengeluarkan pada 12 Februari lepas, hampir sebulan, tidak ada satu pun siasatan dijalankan.

“Nama-nama yang disebutkan dalam artikel melibatkan individu dengan beberapa syarikat organisasi, tidak ada langsung apa-apa tindakan yang dilakukan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN