Siasatan artikel Bloomberg: Polis minta bantuan pihak berkuasa luar

Siasatan artikel Bloomberg: Polis minta bantuan pihak berkuasa luar

MOHD. Khalid Ismail pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar berhubung siasatan lanjut penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan beberapa kakitangan di pejabat media antarabangsa tersebut di ibu negara. 

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan individu berkaitan dipercayai berpangkalan di luar negara. 

“Jadi tindakan yang selanjutnya kami kena buat melalui  Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) atau agensi ke agensi bagi mendapatkan kerjasama pihak berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan syarikat media antarabangsa itu.

Media juga melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg tersebut.

Beliau menyifatkan laporan itu sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya telah diarahkan untuk memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi dan relief lain yang bersesuaian.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mendakwa,Azam, 62, memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN